SELEPAS dikritik hebat kerana dikatakan sebagai punca utama kepada kekalahan Terengganu pada final Piala Malaysia kelmarin ketika bertemu Negeri Sembilan, penjaga gawang skuad Penyu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tampil memohon maaf kepada penyokong skuad Pantai Timur itu.
Dengan rasa rendah diri, Mohd Sharbinee yang juga penjaga gawang skuad kebangsaan, berkata tidak terlintas di hatinya untuk menghampakan setiap penyokong Terengganu sambil mengakui kesilapan yang dilakukannya menyebabkan Terengganu gagal mengulangi pencapaian 10 tahun lalu apabila kali terakhir menjulang Piala Malaysia.
“Saya minta maaf, saya akui kesilapan saya. Memang langsung tak ada niat untuk hampakan semua peminat,” katanya dengan nada kesal.
Pada perlawanan kelmarin, Mohd Sharbinee gagal menampan kemas sepakan silang jarak jauh yang dilakukan pemain sayap Negeri Sembilan, S Kunanlan pada minit ke-80 sekali gus menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan satu gol hasil jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin.
Berpunca daripada gol penyamaan itu, Negeri Sembilan terus menggandakan asakan dan hasilnya, Hairuddin Omar berjaya menjaringkan gol emas pada minit ke-86 sekali gus menyaksikan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah menjulang piala berprestij itu buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Mengulas lanjut, pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia menerima segala kritikan yang dilemparkan kepadanya sambil menyatakan insiden kelmarin memberi pengajaran amat berguna kepadanya.
“Saya sudah lakukan sebaik yang mungkin tetapi ia (kesilapan) tetap berlaku. Saya anggap ini sebagai pengajaran kepada saya. Harap saya tidak mengulanginya lagi selepas ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan