Tip-Tip Membuat Blog Peribadi

Sudahkah anda memiliki blog sendiri? Pasti ramai yang tertanya, apakah yang dimaksudkan dengan blog itu. Untuk pengetahuan umum, blog ialah jurnal berasaskan web di mana seseorang boleh mengutarakan pendapat dan pandangan peribadi di Internet.

            Dewasa ini, sesiapa sahaja boleh memulakan blog. Ia boleh didapati atau dibina dengan percuma dan sangat mudah untuk dilakukan serta dikendalikan. ‘Blogging’ atau budaya menulis jurnal atas talian adalah satu fenomena yang berkembangan hasil daripada kemajuan pesat teknologi Internet. Dalam ruangan kali ini, mari kita ketahui tentang cara-cara untuk memulakan blog peribadi. Selamat mencuba!

Langkah-langkah Membina Blog Peribadi :

1)    Daftar dengan mana-mana pembekal blog di Internet antaranya adalah seperti Blogger.com, Wordpress.com, LiveJournal.com, Diaryland.com, BlogDrive.com dan Blog.com. Kebanyakan pembekal-pembekal ini menyediakan perkhidmatan blog secara percuma.
2)    Sebaik sahaja mendaftar, anda boleh terus memilih contoh-contoh blog pasang-siap. Pilih salah satu dan masukkan nama anda, tajuk blog, gambar dan sebagainya. Anda juga boleh menukar warna mengikut kesesuaian blog. Kebanyakan pembekal akan menyediakan beberapa contoh susun atur yang boleh dipilih oleh anda.
3)    Selepas blog anda siap, mulakan menulis atau memuat naik beberapa kiriman untuk percubaan. Mungkin agak kekok untuk menulis buat kali pertama, tetapi jika anda lakukannya sebagai rutin harian, anda akan dapat rasakan ketagihannya. Tulis tentang hari-hari anda, isu semasa, idea atau apa sahaja yang terlintas di fikiran.
4)    Mulakan melawat blog-blog lain untuk membina satu rangkaian atau network. Berikan komen yang menarik dan tinggalkan alamat blog anda di dalamnya supaya mereka juga boleh melakukan perkara sama di dalam blog anda.

Tip Membuat Blog :

1)    Jika anda kerap kemaskini blog anda, lebih ramai yang akan datang kembali untuk membaca.
2)    Jadikan memblog sebagai rutin harian.
3)    Pastikan setiap kiriman anda dapat menarik perhatian pengunjung yang membaca.
4)    Pastikaan juga ejaan anda tepat.
5)    Sesetengah pembekal blog membenarkan anda untuk buat duit melalui blog dengan cara meletakkan iklan seperti Google AdSense. Jika blog anda popular, boleh juga digunakan untuk membayar bil Internet anda.
6)    Jangan rasa kecewa jika blog anda tidak ada pengunjung untuk beberapa bulan pertama. Oleh kerana komunitinya sangat besar, ia mungkin akan mengambil sedikit masa sebelum blog anda mendapat perhatian umum.
7)    Jangan jadikan blog anda carca-marba. Tumpukan pada topik yang anda minat. Jika anda suka bercerita tentang teknologi, penuhi blog anda dengan isu-isu teknologi sahaja, begitu juga dengan politik, perniagaan dan sebagainya.

1 ulasan: